Jam loceng


Jam loceng yang setia adalah jam loceng yang akan berjaga tidak kira masa untuk kejutkan tuannya bangun dari tidur. Jam loceng yang bijak adalah jam loceng yang tahu masa-masa penting bagi tuannya untuk sedar dari tidur. Jam loceng yang penyabar adalah jam loceng yang berusaha berkali-kali kejutkan tuannya apabila dia tak lekas bangun dari tidur. Erti kata lain, apabila tuannya tidur mati tak ingat dunia. Cukup. Aku ada satu jam loceng yang sangat setia dan bijak lagi penyabar. Aku panggil ianya jam loceng favorit aku. Jam loceng yang setia berjaga tidak kira siang mahupun malam untuk pastikan aku bangun dari katil empuk. Walaupun hakikatnya tidak berapa empuk. Ya, jam loceng aku bersengkang mata tidak tidur hanya untuk pastikan dia kejut aku tepat pada masanya. Jam loceng aku juga bijak, tidak perlu diarah atau disetkan masanya berulang kali. Sekali saja, dia sudah tangkap. Lekas, pukul ini, pukul itu. Sekejap lagi, lagi 10 minit. Ah, jam loceng aku bijak. Bijak tentang masa tidur aku. Tebal ilmunya tentang masa tidur aku. Tak perlu diajar. Mahu aku puji lagi tentang jam loceng kegemaran aku. Jam loceng aku itu penyabar. Bilamana aku tak sedar ataupun aku tidur balik selepas dikejutkan, jam loceng aku sentiasa berusaha untuk bangkitkan aku dari tidur. Jam loceng yang bagus adalah jam loceng yang tak pernah putus asa dengan tuannya.

Aku percaya jam loceng favorit aku ini tak akan rosak. Dia akan ada untuk kejutkan aku sampai bila-bila. Jam loceng aku akan kekal sebagai jam loceng yang setia, bijak dan penyabar. Aku sayang jam loceng aku.

Ash. Dia itu jam loceng favorit aku.