Dari jauh sudah kelihatan kepulan asap
rokok. Aku dapat lihat dengan jelas susuk badannya dari belakang. Itu dia.
Bukan dia lah jika tak ada rokok di
tangan kanannya. Aku tersenyum sendiri terus aku atur langkah kakiku
satu-persatu ke arahnya. Aku mencuit bahu kirinya. “Nak rokok sebatang.”
Pintaku. Lantas dia menjawab, “Perempuan mana boleh hisap rokok. Bukan mainan
kau.” Aku hanya gelak besar dan seloroh berkata, “Aku tak hisap rokok tapi aku
suka rokok.” Dia bingkas bersuara, “Suka yang macam mana ? Perempuan pelik.”
Aku mendekatinya dan berbisik, “Aku suka rokok macam aku suka kau.” Terus aku
kucup pipinya dan beredar dari situ. Dia terpinga-pinga, mukanya kemerahan.
Aku menjerit dari jauh, “Malam ni jangan
lupa. Tempat biasa, aku tunggu kau bodoh.”
Malam. Aku menunggu dia. Jam berganti jam,
minit berganti minit, langit kian pekat dan gelap, bulan sudah tidak kelihatan.
Aku terlena lesu di situ. Ada bisikan halus singgah di telingaku, “Aku minta
maaf. Aku tak boleh.” Aku kenal empunya suara itu. Bingkas aku bangun dari
tidur, aku melihat sekeliling. Lengang. Kosong. Tak ada siapa-siapa. Mana kau
bodoh ? Airmata aku lantas laju membasahi pipi aku. Aku merengek kayak anak
kecil, minta dipujuk tapi tiada siapa pun yang muncul. Aku menangis. “Kau janji
mahu jumpa aku. Kau janji akan bersama aku. Tapi mana kau? Kau tipu aku.”
“Siapa kata aku mungkir janji?” Bahu kiri
aku disentuh lembut. Aku kenal bau itu. Aku toleh ke belakang, ya kau. Kau yang
aku tunggu. Lantas kau aku peluk. Menangis lagi aku. Masih bisa aku merasa
hangat badan kau itu. Masih bisa aku lihat wajah kau itu. Dan sebenarnya, aku
takut untuk terima hakikat satu saat nanti apa yang aku tunggu yakni kau tak
akan muncul seperti hari ini. Paling aku takut. Mohon kau hidup untuk aku.
Aku duduk dengan dia. Kepalaku disandarkan
pada bahunya. Mulutku tak berhenti bercerita memecah sunyi malam pekat. Dia
hulurkan rokok yang sudah separuh dihisapnya, “Nak?”. Aku tolak dan bilang,
“Aku dah berhenti hisap rokok. Perempuan mana boleh hisap rokok.” Dia gelak
kecil.
Malam jadi saksi. Tentang aku, dia dan
rokok.